ARTIKEL BOMBASTIK

Sunday, June 23, 2013

23 Jun 2002 : Dia sudah pergi....kita pula menyambung perjuangannya.



Hari ini genap 11 tahun pemergian beliau. Tarikh 23.6.2002, adalah hari yang duka bagi para pendokong gerakan Islam di Malaysia, apabila dimaklumkan bahawa YB Ustaz Hj Fadzil bin Mohd Noor dipanggil balik bertemu dengan Allah SWT di HUKM, Kuala Lumpur setelah hampir 2 minggu berada di katil menerima rawatan di HUKM, Kuala Lumpur.

Pertama kali daku mendengar ceramahnya semasa ceramah perdana sempena Pembukaan Madrasah Darul Quran Rhusila akhir 80an. 

Mukaddimah ceramahnya agak perlahan tetapi lama kelamaan menyengat penuh ilmiah,sindiran,sinis,lucu,kiasan, mantik dan "peluru berbisa" kepada musuh.

Muktamar PAS 2002 Kota Bahru adalah muktamar terakhirnya.Penggulungan beliau di akhir muktamar itu adalah penggulungan terakhir buatnya.

Antara kata-katanya semasa penggulungan wida' itu, 
" Payah hendak berpisah dengan orang yang dikasihinya". 

Seolah-olah beliau tahu "isyarat" kematiannya.Benar selepas itu, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung dan tidak sedar hingga kematiannya.

Beliau menghembuskan nafasnya ketika pimpinan atasan PAS bermesyuarat dan tarikh mesyuarat itu ditetapkan sendiri oleh beliau.

Kasih dan hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim berpanjangan. Walaupun asalnya bersama dalam ABIM tetapi apabila Anwar pilih masuk UMNO, beliau tetap berhubungan dengan Anwar atas dasar sahabat.

Jika Anwar ada Nurul Izzah,beliau ada Muna Izzah. Satu tanda keakraban mereka berdua.

Dalam pada itu beliau tetap "menembak" Anwar dengan sindiran. Ketika Anwar memegang jawatan Menteri Pertanian. Beliau menyindir Anwar sebagai Menteri Jaga lembu Kerbau.

Semasa Anwar dibuang dari UMNO dan ISA bermaharaja lela, beliau pergi berjumpa Anwar di rumah Anwar tanpa pengetahuan pimpinan tertinggi PAS.

Ketika Anwar kena ISA kali pertama,beliau diberitakan sanggup tidak melanjutkan pelajarannya peringkat lanjutan di Mesir semata-mata menunggu Anwar bebas.

Tetapi kali kedua Anwar di penjara, beliau tidak sempat menunggu hari pembebasannya kerana panggilan Ilahi buatnya.

Pada era beliaulah:
- Kelantan dan Terengganu kembali menjadi milik PAS (1990 dan 1999).
- Ketua Pembangkang kembali semula  kepada PAS setelah sekian lama dipegang DAP. 
- Misi dakwah PAS menembusi orang Cina melalui ceramah di Tokong Cina dan Dewan Perniagaan Cina.
- Pakatan Pembangkang kuat dibentuk seperti Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif.

Bayangkan jikalau beliau masih hidup, apa perasaan beliau melihat Presiden PAS,Pengerusi DAP dan Ketua Umum PKR duduk satu pentas dan dihadiri anak-anak muda pelbagai kaum.

Itulah dia insan yang mulia bertaraf mujahid ummah, Almarhum Ustaz Fadzil Nor.

DaripadaNYA kita datang dan kepadaNYA jua kita kembali.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...