ARTIKEL BOMBASTIK

Saturday, November 29, 2008

PRK P036 : PAS perlukan calon tempatan.



PRK P036 Kuala Terengganu bakal diadakan. P036 mengandungi 4 DUN iaitu Bandar, Ladang, batu Burok dan Wakaf Mempelam. Kecuali Bandar, semuanya milik PAS. Wakaf Mempelam dan Batu Burok adalah "stronghold" bagi PAS seperti Rhu Rendang dalam Parlimen Marang. Manakala Ladang, PAS cuma menang tipis 31 undi dan Bandar adalah milik MCA. P036 adalah kawasan yang siling bertukar parti. Parti pembangkang yang pernah memenanginya iaitu Parti Negara melalui Dato' Onn Jaafar(dulu dikenali sebagai Kuala Terengganu Selatan). Begitu juga Semangat 46(Datuk Manan Osman) tahun 1990. PAS pula pada tahun 1999 melalui Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti melebihi 10,000 undi.


Melihat kepada rekod keputusan P036 yang lepas, seolah-olah penentu kemenangan P036 ditentukan oleh DUN Bandar. Parti mana yang menang DUN Bandar bermakna memiliki P036.
Dalam PRU 8, DUN Bandar dimenangi oleh PAS menerusi Ustaz Harun Jusoh manakala P036 oleh Semangat 46. Dalam PRU 10, DUN Bandar juga dimenangi PAS menerusi Azmi Yop dan P036 oleh Syed Azman Syed Ahmad Nawawi(PAS).

Tetapi jika kita lihat keputusan PRU 12, PAS memenangi 3 DUN tetapi gagal hantar Mat Sabu Ke Parlimen. Ini kerana BN melalui MCA berjaya dengan majoriti 1,134undi. Untuk mengharapkan undi pos, adalah mustahil bagi PAS. 98.5% undi pos adalah untuk BN. Undi pos datangnya dari IPK Polis dan FRU yang bermarkas di sebelah Dewan Tunku Abdul Rahman. Oleh itu jentera PAS dan Pakatan Rakyat perlu menumpukan fokus utama menarik undi masyarakat Cina di DUN Bandar. Peratus pengundi Cina adalah 38% di DUN Bandar dan 10% bagi P036.

Mengenai calon, PAS perlu memilih calon dari kalangan orang tempatan. Perlu difahami, PRK berbeza dengan PRU. Dalam PRU, faktor calon tidak begitu diambilkira oleh pengundi. Ini kerana tumpuan mereka ke seluruh negara. Tiada masa melihat kewibawaan calon. Pengundi ketika itu lebih "seronok" melihat tokoh-tokoh politik bertarung di seluruh negara dari menumpukan calon yang bertanding di tempat mereka sendiri. Faktor budaya politik Terengganu yang "tidak mesra" kepada calon luar berbanding budaya politik Kelantan juga boleh diambilkira. Mungkin calon baru mewakili golongan muda boleh difikirkan.

Begitu juga PAS perlu teliti memilih calonnya. Kes ADUN Batu Burok yang lebih masa di Kuala Lumpur juga perlu dijadikan iktibar untuk memilih calon.

Kelebihan PAS kalinya berdasarkan beberapa faktor dan boleh digunakan sebagai bahan ceramah dan kempen. Antaranya :
1) Isu "natang" oleh UMNO semasa keributan memilih MB. Ianya berlaku di P036.

2) Tembakan peluru hidup oleh polis. Juga berlaku di P036.

3) Perbalahan antara Mat Said dan Mat Deris serta kuncu-kuncunya semasa Pasca PRU.

4) Isu pemilihan Ketua Bahagian UMNO antara orang Mat Said dengan Mat Deris.

5) UMNO akan gunakan medan P036 untuk kempen pemilihan pada Mac nanti. Mereka bergasak sesama sendiri !

Thursday, November 27, 2008

Scapepig


Sah! Kerja UMNO sekarang ialah suka mem"babi hitam"kan( scapepig) orang lain. Sehingga kini 2 buah kerajaan sudah di"scapepig"kan oleh UMNO iaitu kerajaan Selangor dan Kedah. Semuanya tentang ternakan babi. Amat menghairankan projek yang dirancang dan diluluskan DUN semasa Kerajaan UMNO Khir Toyo dan Mahadzir dahulu, kini dianggap boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada orang Islam. Ini semata-mata kerana Kerajaan yang meneruskan projek itu adalah Kerajaan Pakatan Rakyat.
Secara positif, kita amat setuju projek itu diteruskan oleh kerajaan PR. Ini kerana ianya boleh atasi masalah pencemaran alam sekitar.

Dengan menggunakan sistem moden walaupun ianya terpaksa berbelanja lebih tetapi ianya memberi kebaikan kepada rakyat dari segi pemeliharaan alam dari tercemar. Kepada orang bukan Islam, projek ini menunjukkan betapa Islam bersikap terbuka dan menghormati hak-hak agama lain. Manakala kepada orang Islam, projek ini melindungi daripada pencemaran bau dan najis daripada penternakan ini.

Malangnya UMNO dengan segala kejahatan dan hasad dengkinya memutar belitkan isu projek ini untuk menagih kembali undi umat Melayu. UMNO tahu isu babi adalah amat sensitif kepada umat Melayu lalu menyalak menggesa umat Melayu menentang projek tersebut.


Sebenarnya punca utama UMNO menggunakan isu babi dengan bermotifkan 2 perkara iaitu :


a) Untuk menimbulkan perasaan perkauman antara Melayu dengan Cina. UMNO menaruh harapan agar Melayu akan membenci Cina atas isu projek babi. Dengan ini orang Melayu akan kembali semula kepada UMNO kerana mereka melihat UMNO membela Melayu.


b) Sebenarnya projek penternakan babi yang diluluskan oleh Kerajaan UMNO sebelum tumbang dalam PRU 12 Mac lalu mempunyai hubung kait dengan saham mereka dengan industri ini. Jika judi dan arak, UMNO boleh "halalkan" apatah lagi babi walaupun tidak memakan dagingnya tetapi "kedarah lagi pelahap" makan hasil ternakannya!

Industri babi adalah industri cepat kaya. Oleh itu amat menghairankan jika UMNO tidak terlibat. Itulah mereka begitu bersungguh-sungguh marah apabila kerajaan PR mengambil alih projek "impian" mereka. Lalu lagu perkauman dinyanyikan oleh juak-juak mereka.


Cuba kita fikirkan secara rasional, mengapa isu babi tiada kedengaran di Melaka dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh UMNO? Di kedua negeri tersebut, kandang-kandang babi bersepah. Penduduk samada Melayu, Cina dan India terpaksa hidu bau najis babi puluhan tahun. Tetapi tiada tindakan dari Kerajaan UMNO untuk atasinya. Mengapa ? Cuba anda "melancong" ke kandang babi di Negeri Sembilan dan Melaka dan tanyalah apek yang menjaga kandang babi itu siapa yang ada saham kat kandang itu. Jangan terkejut jika apek sebut nama yang ada saham kat kandang sama seperti nama anda! Melayu boleh!


Melayu sekarang serba boleh! Ada jadi Pengerusi Kilang Arak. Ada jadi Pengerusi Syarikat Judi. Ada tuanpunya Kelab Malam dan Kelab Dangdut yang menyajikan arak dan pelacur.

Jadi apa nak dihairankan jika Melayu pun ada jadi taukeh babi !!


Monday, November 24, 2008

Awas! UMNO sedang lepaskan hantu-hantu raya.


Nampaknya akhir-akhir ini semangat api perkauman semakin menyala di Malaysia. Bermula demo di Pulau Pinang merebak di Selangor dan terkini di Kuala Lumpur. Yang peliknya semua dilulus dan diberi permit oleh polis. Bahkan semacam dialu-alukan oleh polis. Tiada topi kepala merah. Tiada water cannon. Kalau boleh polis hendak hamparkan permaidani merah buat mereka. Maaf...layanan ini istimewa khas buat UMNO dan "hantu raya" peliharaan mereka seperti PEKIDA, Pewaris, PERKASA dan terbaru Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM)pimpinan Dr Maamor Mansor. Semoga Teras Melayu pimpinan Cikgu Azmi Hamid tidak tersesat seperti PPIM !


Sasaran utama golongan ala Klu Klux Klan ini adalah orang Cina dan India. Dengan menggunakan atas nama Melayu, Raja Melayu dan Islam, mereka mengapi-apikan fahaman perkauman. Di ambang UMNO sedang nazak dan sedia ditalqinkan, mereka lepaskan "hantu raya" untuk mengalihkan tumpuan isu nazak UMNO kepada isu perkauman.


Perjuangan hantu raya peliharaan UMNO ini ialah untuk memastikan azab siksa UMNO menghadapi saat kematian yang jelik lagi jijik tidak dilihat dan tidak disedari oleh rakyat Malaysia. Maka hantu raya UMNO ini akan merayau-rayau sambil melolong perkauman.


Untuk menghadapi gangguan hantu raya peliharaan UMNO ini, Rakyat Malaysia perlu berbuat sesuatu. Gunakan "bomoh" dan "jampi" yang berkesan. Di sini kita melihat "bomoh" paling ampuh untuk hadapi gangguan hantu raya UMNO ialah DS Anwar, TG Haji Hadi dan Lim Kit Siang dan "jampi" paling berkesan menghapuskan hantu raya ini ialah setiap perhimpunan mesti libatkan semua kaum.

Tunjukkan semakin kuat gangguan hantu raya UMNO semakin kuat perpaduan rakyat Melayu, Cina dan India.

Semua pimpinan PR perlu turun padang bersama rakyat. DS Anwar, TG Hadi Awang dan Lim Kit Siang mesti senantiasa bersama di setiap program dan perhimpunan rakyat. Ingat ! rakyat Malaysia ingin melihat perpaduan semua parti PR. Selaraskan setiap kenyataan tentang isu perkauman dan agama.

Semakin banyak gangguan hantu raya UMNO, semakin benci dan jelik orang Cina dan India kepada UMNO. Sebenarnya orang Cina dan India tidak benci Melayu bahkan mereka semakin dekat dan sayang kepada PAS. Hanya UMNO lambang kejahatan bagi mereka.


Sunday, November 23, 2008

Lim Eng Guan meraikan Tulisan jawi.


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Eng Guan tetap keputusannya untuk mengekalkan papan tanda jalan pelbagai bahasa. Hujahnya sebagai promosi George Town sebagai Tapak Warisan Dunia. Isunya yang kini di"salak" barua-barua UMNO ialah mengapa guna bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu.

Kita melihat cerdiknya Eng Guan untuk mengajak umat Melayu mengingati semula nostalgia kejahatan dan kecelakan yang dilakukan oleh UMNO. Masihkan kita lupa tulisan jawi yang menjadi lambang umat Melayu dahulu?

Pengisytiharaan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman ditulis dengan tulisan jawi. Tulisan jawi ketika itu sangat popular dan digunakan secara meluas samada surat menyurat rasmi maupun surat khabar. Surat khabar dan majalah kebanyakkannya dicetak dalam tulisan jawi.

Kaum Cina dan India yang menjadi penduduk Tanah Melayu ketika itu mengakui dan mengiktiraf tulisan jawi sebagai tulisan rasmi seiring dengan Bahasa Melayu. Bahkan mereka mempelajarinya.

Malangnya episod hitam bermula akhir tahun 60an bila Menteri Pelajaran (UMNO)ketika itu, Khir Johari mula menghapuskan secara beransur-ansur penggunaan tulisan jawi melalui dasar pelajarannya. Dijadikan tulisan rumi (latin) sebagai tulisan di buku-buku pelajaran menggantikan tulisan jawi. Bermula dari situlah anak-anak Melayu menjauhi tulisan jawi. Kesannya, anak-anak Melayu mula buta tulisan jawi. Kemuncaknya jualan surat khabar Utusan Melayu jatuh merosot hingga dijadikan sisipan(tumpang) kepada Surat khabar Utusan Malaysia sekarang.

Jika anak-anak Melayu sudah buta jawi, bagaimana nak harapkan bangsa lain menghormati tulisan jawi ?

Sebenarnya bangsa Cina dan India melihat taraf tulisan jawi itu sama taraf tulisan mereka. Dulu sebelum angkara Khir Johari, orang Cina dan India menganggap tulisan jawi adalah tulisan bagi Bahasa Melayu. Kini mereka menganggap tulisan jawi sekadar warisan umat Melayu sahaja.


Isu papan tanda jalan sebenar yang menyebabkan UMNO sakit hati ialah kerana ianya mengandungi tulisan Cina dan Tamil. Itu sahaja.


Lebih-lebih lagi bila Pulang Pinang dikuasai oleh DAP. Ini untuk menunjukkan kononnya UMNO bersifat patriotik Bahasa Kebangsaan.Piraaah!!

Kita lihatlah watak munafik UMNO. Bermula penghapusan tulisan jawi hinggalah kini penghapusan penggunaan Bahasa Melayu dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Lihatlah bahasa yang digunakan oleh menteri-menteri UMNO bila diwawancara TV. Kebanyakannya menggunakan bahasa penjajah !!


Sikap Eng Guan kita hormati kerana dia masih ingat kepada tulisan Jawi.

Yang peliknya mengapa bila Dr. Mahathir(UMNO) hapuskan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik, barua-barua UMNO seperti GAPENA, GPMS, NGO Melayu tidak menyalak? Angguk dan angguk dulu, kini dan selamanya.


Seeloknya mereka semua elok di "jawi"kan semula untuk jadi Melayu Asli dan tidak lagi berupa Melayu ala Abdullah bin Ubai !

Thursday, November 20, 2008

SENSASI !! Filem terbaik 2008

Suasana Hotel Kublai Khan penuh sesak dengan wartawan hiburan. Mereka hadir untuk sidang media oleh Roy Jack pengarah filem box office tahun 2008. Filem bertajuk " From Ulan Bator with C4" berjaya memecah rekod sebagai filem terbaik Republik Dacing sejak merdeka. Mari kita ikuti wawancara dengan pengarahnya yang juga pelakon utama, Roy Jack.

Wartawan: Tahniah atas kejayaan filem " From Ulan Bator with C4". Bagaimana perasaan sdr. Roy Jack (RJ) ?

RJ : Terima kasih atas ucapan tersebut. Kejayaan ini juga untuk rakyat Republik Dacing. Seharusnya kita semua berbangga.

Wartawan : Berapa kos perbelanjaan membikin filem ini ? Siapa yang membiayainya?

RJ : Lebih kurang RM500 juta. Alhamdulillah. Pihak kami mendapat penajaan penuh dari Submarine and Sukhoi Sdn. Bhd. Tanpa penajaannya saya rasa filem ini tidak akan berjaya.

Wartawan : Selain sdr, mungkin ada lagi orang yang turut terlibat menjayakan filem ini.

RJ : Oh ya... betul. Biarlah saya berterus terang. Secara peribadi, orang yang amat besar memainkan peranan penting untuk menjayakan filem ini ialah Dato' Jib Roy. Beliau amat teliti. Beliau senantiasa mahu setiap skrip mesti dihafal dan lakonan dibuat mengikut skrip. Jika ada skrip tersilap, beliau cepat-cepat membetulkannya. Saya betul-betul tabik dengan kesungguhannya. Begitu juga dengan isterinya Datin Rose Moh. Dato Jib Roy juga selalu ingatkan saya jika filem ini gagal, beliau akan bertapa di Sungai Buloh Valley sebagai memenuhi nazarnya. Ini satu motivasi kepada saya untuk jayakan filem ini.

Wartawan : Uniknya filem ini kerana menggunakan 95% pelakon terdiri daripada beruk-beruk. Bagaimana haiwan ini dilatih dan senang mematuhi arahan ?

RJ : Senang je. Kita suntikan sejenis dos pelali yang dinamakan FULUS kat mulut mereka. Terus beruk-beruk ini mematuhi arahan kita.

Wartawan : Boleh sdr boleh kongsikan pengalaman manis dan cemas semasa penggambaran filem ini?

RJ: Tentu sekali. Terutama suasana cemas. Berpeluh saya dibuatnya. Dato' Jib Roy juga berpeluh bahkan menggigil! Antaranya, semasa adegan mengangkat sekeping gambar. Walaupun gambar itu ringan tetapi semasa aksi itu, berlaku perebutan antara Beruk Kuning Bata dengan Beruk Jingga untuk menurunkan gambar itu. Ini menyebabkan berlaku kecederaan keatas pelakon utama. Nasib baik Beruk Kelabu Tahi Anjing menyelamatkan keadaan dengan membuang gambar itu jauh-jauh.
Begitu juga ketika tiba-tiba seekor Beruang Hitam muncul sambil angkat kakinya yang depan seolah-olah bersumpah. Mujurlah Dato Jib tembak pelali FULUS kat beruang itu. Terus beruang itu melarikan diri. Hingga kini hilang tanpa dikesan.

Wartawan : Pengalaman sedih?

RJ : Penggambaran filem kami selama hampir 2 tahun merapatkan hubungan antara satu sama lain. Samada krew dan pelakon. Termasuk beruk-beruk yang terlibat. Kami umpama satu keluarga. Selepas ini saya akan sambung belajar di Batu Putih Island University. Ambil semula sijil SRP. Kerana filem ini, saya terpaksa tangguhkan pengajian saya untuk tumpukan kepada filem ini.

Wartawan : Bagaimana dengan beruk-beruk yang menjadi pelakon filem ini ? Jual kat sarkas ke?

RJ : Oh tidak. Kami akan lepaskan ke hutan semula. Mungkin dengan saguhati yang kami berikan, beruk-beruk ini boleh enjoy hingga dua generasi. Bila kami buat filem lain, kami akan panggil lagi beruk-beruk ini. Bagi kami, beruk-beruk ini adalah pelakon terbaik filem ini.

Wartawan : Filem ini akan sertai Festival Filem Dunia ? Dan mungkin dapat anugerah terbaik?

RJ : Kami akan sertai Festival ICJ kat The Hague Belanda.

Wartawan: Terima kasih atas kesudian sdr. mengadakan sidang media ini. Kami ucapkan selamat ambil semula SRP dan semoga berjaya.

RJ : Sama-sama. Pesan saya, jangan beli VCD cetak rompak filem " From Ulan Bator with C4". Belilah yang original.

( Nota : Wawancara ini disiarkan bakal oleh suratkhabar Keris Telanjang Daily pada 31 Februari 2009 dan ianya tiada kaitan dengan yang hidup dan yang mati weeh!)

Wednesday, November 19, 2008

Ingat Najib ingat Mongolia


Sekonyong-konyong Razak Baginda mengadakan sidang media pertamanya sejak keluar dari jeriji besi Penjara Kajang setelah bertapa 22 bulan di situ. Sidang media itu diadakan semasa taukehnya TPM Najib bersama Rosmah berada di luar negeri. Antara kenyataan utamanya semasa sidang tersebut ialah merayu supaya nama taukehnya Najib dinyahkan dari dikaitkan dengan Altantuya.



Betapa kasih dan sayangnya Razak kepada Najib. Umpama seseorang yang mati, tiba-tiba hidup semula terus sebut nama orang kesayangannya.(Ingat: Bapa Razak umpamakan pembebasan anaknya seperti mati hidup semula). Hebatnya kasih Razak pada Najib! Pandai Najib setelah serah skrip untuk dibaca oleh Razak, cepat-cepat dia terbang ke luar negeri bagi menunjukkan dia tiada kaitan dengan sidang media Razak.




Hoi Razak! Rakyat Malaysia tidak sebodoh seperti anda sangkakan. Semakin banyak penafian tentang kaitan Najib dengan Altantuya semakin yakin rakyat bahawa Najib terlibat!

Nampaknya Najib terpaksa gunakan khidmat Razak untuk menguatkan penafiannya terbabit dengan gadis Mongolia setelah sumpah keramatnya semasa Pilihanraya Kecil Permatang Pauh digelak ketawa oleh rakyat. Dengan bebasnya Razak, sekurang-kurangnya menambah semangat dan tenaga kepada Najib dalam menghadapi kes Altantuya.


Mungkin selepas ini jika rakyat masih memperkatakan kaitan Najib dengan Altantuya, Najib terpaksa gunakan halaman depan semua suratkhabar arus perdana untuk siarkan tajuk utama : " Demi Allah ! Saya tak kenal Altantuya".

Kalau tak berkesan juga, elok Najib gunakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk umumkan penafiannya ! Atau sebelum siaran TV bermula setiap hari, Najib berucap:"Saya dengan ini mengaku tidak kenal gadis Mongolia itu."


Menjelang "pertabalan" Najib jadi PM, namanya sudah sinonim dengan Mongolia dan Altantuya. Nasib Najib agak malang berbanding arwah ayahnya. Bila kita sebut nama Tun Razak bermakna kita ingat Felda, DEB, pembelaan orang Melayu dan Penggabungan PAS dengan UMNO dalam BN.


Sukarnya rakyat memisahkan nama Najib dengan gadis Mongolia itu seperti sukarnya memisahkan Amerika dengan Israel. Mungkin jika Najib tolak untuk menjadi PM, masalah ini boleh di selesaikan. Sanggupkah Najib berbuat demikian?


Monday, November 17, 2008

Adakah BTN jelmaan Klu Klux Klan ?


Kalau di Amerika, terkenal dengan Ku Klux Klan(KKK). Kalau di Jerman terkenal dengan Neo Nazi. Di Malaysianya dikenali sebagai Biro Tata Negara. Tadbirannya dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Modul utama di dalam Biro perkauman ini ialah Ketuanan Melayu dan Pelampau Melayu. Isi modul disampaikan secara "brain wash" dan psikologi.

Tenaga pengajarnya terdiri dari Jabatan Hal Ehwal Khas, PDRM, Jabatan Penerangan dan dari Biro Tata Negara sendiri.

Peserta-peserta kursus terdiri pelbagai peringkat. Bermula pelajar, guru, ustaz, imam, bilal hinggalah pegawai-pegawai atasan.


Dalam kursus tersebut, segala yang menjadi MUSUH kepada UMNO akan menjadi sasaran maki hamun penceramah BTN. Manakala UMNO akan dipuja, disucikan, dimuliakan semulia-mulianya persis Musyrikin Quraisy memuja Al Lata dan Al Uzza!



Yang paling teruk menjadi sasaran ialah orang Cina. Tragedi 13 Mei menjadi perkara WAJIB khutbah para penceramah BTN. Tanpa menyelit kisah 13 Mei, khutbah BTN tidak sah! Pemimpin DAP menjadi target tembakan tepat mereka. Dikaitkan orang Cina dengan komunis dan PAP Singapura.

Sasaran kedua penceramah BTN ialah PAS. Dikaitkan PAS dengan pengganas, pelampau ugama dan ajaran sesat. Nama TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz menjadi sebutan wirid maki hamun mereka.

Sasaran terakhir Biro perkauman ini ialah Anwar. Anwar digambarkan dengan pelbagai gelaran jijik dan busuk. Antaranya ajen Yahudi dan pengkhianat Melayu.

Biasanya kerja memaki-hamun ini dilakukan selepas tengah malam selepas semua peserta dikejutkan dari tidur. Dalam keadaan terpinga-pinga itulah, penceramah BTN memulakan acara maki hamunnya.

Timbul pertanyaan di kepala kita, adakah kursus ini memberi kesan kepada peserta kursus?

Jika tahun 60an, 70an dan 80an mungkin memberi kesan kepada peserta kerana ketika itu tiada kemudahan internet dan media alternatif.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan kecerdikan rakyat menapis dan menilai maklumat, kini kursus tajaan BTN dianggap umpama Berita TV RTM sahaja. Ketinggalan zaman. Penceramahnya bagai penglipulara dan pelawak badut.

Amat menghairankan dikala kerajaan membelanjakan berjuta RM untuk program perpaduan kaum, di waktu yang sama kerajaan(UMNO) juga mewujudkan BTN untuk memaki hamun kaum-kaum tertentu.
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat sekadar bahan hiasan dan membazir duit rakyat.
Bayangkan dikala bomba bekerja kuat memadamkan kebakaran, datang pula pihak Petronas menyiram minyak petrol keatas kebakaran itu. Tentulah ini kerja orang gila.
Persoalannya adakah kerajaan kita tergolong kerajaan gila? Kerajaan Gila yang menguasai Kerajaan Langit Ayah Pin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...