ARTIKEL BOMBASTIK

Tuesday, October 6, 2009

10 Okt : Tarikh MIC 'dibakar" ?


Hari Sabtu ini 10 Oktober, 2 peristiwa bakal berlaku sekaligus mengubah iklim politik kaum Cina dan India.


MCA akan mengadakan EGMnya untuk menentukan nasib Presiden dan Timbalannya. EGM yang diadakan pada 10hb ini jam 10 pagi pada bulan ke 10 (Oktober) bakal menyaksikan 2377 perwakilan mengundi samada menyokong Presiden MCA Ong Tee Keat atau Timbalannya Dr Chua Soi Lek.


Jika Presiden MCA menang bakal menggugat UMNO. Ini kerana di tangan Ong Tee Keat terdapat fail - fail penglibatan pemimpin UMNO dalam skandal PKFZ. PM Najib dan UMNO tidak begitu ceria jika Ong menang.


Manakala pada hari yang sama di Taman Pertanian Bukit Cherakah, satu lagi acara yang bakal menentukan nasib "saudara" UMNO iaitu MIC. Parti baru kaum India bakal dilancarkan oleh PM Najib sendiri. Satu peristiwa yang jarang-jarang berlaku. Parti Makkal Sakhti begitulah nama diberi.


Suatu yang menghairankan mengapa Najib begitu mudah untuk merasmikan satu parti baru saingan MIC ? Mengikut pengalaman yang lalu, tiada senang bagi pimpinan BN terutama PM untuk menghadirkan diri dalam acara rasmi parti kaum India selain MIC melainkan Presiden MIC Samy Vellu bagi lampu hijau.


Begitu juga dalam konsep BN, setiap parti kaum Cina atau India yang ingin menyertai BN mesti mendapat sokongan MCA atau MIC. Jika kedua parti itu tidak setuju bermakna duduk luar pagarlah parti baru itu. Begitulah nasib KIMMA dan IPF yang beriya benar masuk BN tetapi MIC menentangnya. Begitu besar pengaruh MCA dan MIC hingga UMNOpun takut ! Itu dulu sebelum PRU 12.


Kini zaman sudah berubah. Pengaruh MCA dan MIC jatuh merundum semasa PRU 12 hingga nasib mereka umpama anjing kurap di sisi UMNO. Samy Vellu dianggap liabiliti atau "biawak hidup" kepada UMNO. Begitulah kata Dr Mahathir. PM Najib juga bengang dengan Samy Vellu. Lebih-lebih lagi nasihat Najib dalam Perhimpunan Agung MIC lalu dijawab dengan biadap oleh Sammy.


Mungkin inilah masa yang sesuai bagi Najib membalas kata celupar dan keegoaan Samy Vellu apabila beliau setuju untuk rasmikan parti alternatif kaum India Sabtu ini. Menambah lagi kesakitan hati Samy Vellu dengan kemungkinan besar musuh ketatnya Dato Subramanian yang kalah dalam perebutan Timbalan MIC akan menyertai Parti Makkal Sakhti ini.


Adakah hari Sabtu ini bakal menyaksikan kelahiran baru parti alternatif MIC sokongan Najib dan UMNO dan juga satu "unggun api yang besar" untuk acara "pembakaran mayat " MIC !


Sama-sama kita saksikan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...